Pages

Tuesday, January 27, 2015

MINI NOVEL: DENDAM TERINDAH - PART 5

Sudah hampir tiga bulan aku bekerja di AzZa, menguruskan jadual Rifqy. Hari-hari menghadap benda yang sama, melayan kerenah Rifqy yang makin hari makin menyakitkan hati. Ada je benda nak buat topik bergaduh dah tu hari-hari masuk pejabat. Bukan Fatin kata dia ni jarang masuk pejabat ke dulu? Rafiq pun dah sebulan bertukar ke AzZa ni, ada jugalah aku jumpa dia, satu level kan tapi nak sembang-sembang macam dulu memang tak sempat, nak-nak si Rifqy ni suka menyibuk kalau nampak aku dengan Rafiq. Takut sangat agaknya aku goda abang dia.
Terkejut aku bila ada orang ketuk meja aku. Aku angkat kepala, muka yang aku memang tak suka tengok dalam empat beradik ni. Mat sombong, Hadif.


“Rifqy ada?” Tengok, bertanya pun nak tinggi-tinggikan suara. Aku belum pekak lagilah.
“Hmm.” Aku angguk tanpa pandang muka dia. Ini je cara melayan orang sombong macam mamat ni.
“Aku nak jumpa dia.” Hish, geram betul aku dengar intonasi dia.
“Hmm.” Malas aku nak layan kau.
“Bagi tahulah dia, takkan aku nak terjah je bilik dia.” Dia tengking aku. Mujurlah tempat kerja aku ni tak macam di Excel dulu, terbuka. Malas melayan dia, aku capai telefon.
“Bos, Encik Hadif nak jumpa.”
“Ok, suruh dia masuk.” Sengaja aku buat loud speaker. Tak payah aku suruh, dah dengar suara abang kau tu, pandai-pandailah masuk sendiri. Lepas aku letak gagang telefon terus aku pusing ke belakang, konon-konon nak ambil fail kat rak. Aku dengar Hadif hempas pintu. Hehehe, padan muka kau.
Dekat 15 minit juga si Hadif tu kat dalam, lepas tu bila keluar buat muka macam singa. Eleh, tak takut pun. Bila lalu depan meja aku, siap hadiahkan kat aku satu jelingan maut. Tanpa reaksi aku hanya pandang je Hadif, siap tongkat dagu sebelah lagi.
“Af, masuk sekejap.” Pandangan di ubah ke kanan. Rifqy berdiri di muka pintu. Hmm, apa guna Alexander Graham Bell cipta telefon?
“Yes, boss?” Aku dah bersedia dengan pen dan notebook.
“Apa yang kau buat sampai Hadif marah sangat tu?”
“Hmm? Buat apa?” Aku buat muka terpinga-pinga.
“Sampai hempas pintu.”
“Aku tak buat apa-apa pun. Jentik tidak, pukul pun tidak.” Gempak tak? Cakap dengan bos aku kau je.
“Kau tu bukan boleh harap sangat, mulut tu kalau bercakap main ikut suka kau je.”
“Habis adik kau tu muka tak pernah nak senyum. Sendi gembira di wajah dah putus agaknya.”
“Dahlah, mulalah merepek yang bukan-bukan.” Aku mencebik, siapa yang mula dulu?
“Kenapa kau panggil aku ni? Takkan sebab adik manja kau tu je?”
“Aku nak minta tolong kau. Kau ingat lagi Moon kan?” Moon? Yang dua alam tu ke?
“Dia nak hantar baju aku, kau tolong ambil kat SACC Mall.” Aku kerut kening.
“Aku minta Hadif bawakan kau sebab dia ada urusan di Quality Hotel.” Hah? Gila ke apa nak suruh aku pergi dengan Hadif?
“Af.”
“Kenapa tak suruh Hadif je ambil? Kau kan tau aku dengan adik kau tu macam mana?” Aku tarik kerusi kemudian tanpa dipelawa aku duduk, macam kurang ajar je kan?
“Hadif kena jumpa client, Moon tak boleh nak tunggu sebab dia nak ke airport.” Ada je kan alasan dan urusannya.
“Habis tu kenapa kau tak pergi sendiri?”
“Aduh, kau ni banyak songeh betullah. Kalau boleh pergi aku dah pergi dah, tak payah susah-susah suruh kau. Lupa ke jadual aku hari ni?” Aku diam. Pukul 11 ni dia ada meeting dengan BOD, lepas tu petang nanti ada appointment dengan site manager projek yang kat Sungai Buloh tu.
“Habis aku tak payah ada, masa meeting nanti?”
“Fahmi ada.” Memanglah best tak payah masuk meeting yang membosankan dan tak payah menghadap muka Dato’ Zakaria. Tapi lagi tak best kena berdua dengan Hadif.
“Kau takut dengan Hadif ke?” Aku pandang muka Rifqy. Memang aku takut, walaupun nampak macam aku ni kuat melawan tapi kalau berlawan secara fizikal, nak-nak dengan lelaki, rasanya tak mampu kot.
“Aku bukan takut, tapi aku tak suka. Kau tahu tak adik kau pernah kurang ajar dengan aku? Mentang-mentanglah aku ni tak kaya macam korang, senang-senang je dia menghina aku.” Ini mahu jadi sesi luahan perasaan ni.
“Hadif tu mulut dia memang sama level dengan kau, tapi dia oklah.” Ok? Dia malukan aku depan kawan-kawan dia, cakap macam aku ni pelacur tu apahal? Kembar dua orang tu sama je, tak habis-habis pasal seks. Bezanya, si Thaqif gaya minta, ala-ala kasanova dan Hadif pula kurang ajar dan suka merendah-rendahkan orang.
“Ala, takde apa-apalah Af. Please, aku kena ambil baju tu ari ni sebab lusa aku nak pakai. Moon pula nak fly ke New York hari ni, dua minggu lagi baru balik.”
“Tinggal jelah kat butik dia tu, nanti kau ambillah.”
“Dia dah bawa baju tu, on the way ke SACC Mall pun.” Hish, ada jelah tau. Ketukan di pintu menghentikan perbualan kami, sama-sama memandang ke arah pintu yang ditolak dari luar. Hadif melangkah masuk, segak bergaya dengan kot hitam dan begnya.
“Ok Af, tolong I ambil baju tu ya? Send my regards to the gourgeous Moon.” Aku pandang muka Rifqy, saja mengada dia ni tau. Tak suka betullah. Akhirnya dengan langkah yang berat aku keluar juga mengekori Hadif.
Sepanjang perjalanan aku hanya diam, tak tahu nak bercakap apa. Hadif ni pun sibuk je bercakap di telefon. Ada je yang hubungi dia.
“Bring her to the party tonight.” Aku dengar dia ketawa. Kawan-kawan miang dialah tu. Teringat kali pertama aku jumpa Hadif ni. Waktu tu dia datang ke Excel, nak jumpa Rafiq. Aku waktu tu ada dalam pejabat Rafiq sebab nak ambil fail. Tengah terjengket-jengket capai fail di rak tiba-tiba ada tangan tengah syok menjalar kat punggung. Tak tunggu lama, elok je aku pusing terus aku libas fail yang berjaya aku capai tu ke kepala orang yang buat sexual harassment kat aku.
Sangka aku Rafiq yang budiman tu dirasuk syaitan tapi rupanya adik dia yang menggatal. Tak lama untuk aku tahu siapa yang cuba membuat onar ni. Bertahun aku menyiasat, walaupun dia ni ada kembar seiras tapi aku boleh bezakan dia orang berdua.
“How dare you.” Dia memandang aku tajam sambil memegang kepalanya. Mesti tengah weng..weng kepala dia, tebal juga fail ni.
“Encik ni siapa? Main ceroboh bilik bos saya lepas tu nak cabul kehormatan saya.” Aku pura-pura tak kenal, konon-konon baru first time tengok dia ni.
“You tahu tak I ni adik Rafiq? Berani you pukul I dengan fail tu.” Dia berdiri memandang aku, dah ok sikit kot kepala dia.
“Saya peduli apa kalau encik adik bos pun, siapa-siapa yang cuba ambil kesempatan kat saya, terimalah padahnya.” Aku kepit fail yang aku ambil tadi ke dada, buat perisai kalau-kalau dia ni tiba-tiba mengganas. Nasib baik aku tak pakai skirt macam selalu, kalau tak entah apa yang dia buat tadi.
“You ingat you boleh lepas dari I kalau I dah set you as my target.” Ewah-ewah set as target pula, ingat kau main panah-panah ke? Tak pun main dart nak aim aku pula.
“Kalau berani cubalah.” Aku telan air liur, kat dalam ni beranilah sebab aku tahu ada ramai orang, bantainya dia tunggu aku kat luar macam mana? Takpe, uncle ada.
Dia melangkah menghampiri aku, cuba memeluk aku tapi belum sempat dia rapat aku dah hadiahkan sedas penampar kat dia. Dan nasib baik jugalah Encik Bos masuk. Pelik jugalah dia kenapa aku dengan adik dia dah main pandang-pandang macam movie Hindustan.
“You nak I bukakan pintu untuk you ke?” Aku terkejut. Mulut macam longkang, sama je macam Rifqy, suka sergah-sergah orang.
Aku buka pintu kereta. Elok je aku tutup pintu, dia turunkan cermin.
“Tunggu I kat sini. Kalau nak makan dulu pun tak pe tapi tunggu sampai I datang. Nanti bila I dah settle, I’ll call you.” Aku hanya mengangguk. Kemudian langkah diatur menuju ke dalam ruang legar SACC Mall. Kata Moon, dia tunggu aku kat Asiari.
Sekejap je aku jumpa Moon ni, dia bagi aku baju Rifqy lepas tu kalut semacam je nak pergi. Lepas ber ‘bye-bye’ dengan dia, aku teruskan menyantap hidangan yang di pesan oleh Moon tadi, dia belanja katanya. Hampir setengah jam juga aku kat dalam ni, saja aku makan lambat-lambat sebab nak buang masa menunggu Hadif.
Rasa macam lama sangat aku kat dalam ni, kalau berteman tu takpelah juga, ini seorang-seorang je kat sini. Habis je makan aku terus keluar, merayap dari satu level ke satu level. Nasiblah tak tinggi mana pun SACC Mall ni. Jam di tangan aku toleh. Dekat pukul 1 ni, mana si Hadif ni? Lama betul jumpa clientnya, bincang masalah negara ke?
Nak telefon takde pula nombornya. Nombor? Baru aku teringat, dia mana ada nombor aku dan aku pun takde nombor dia. Tapi takkan dia tak boleh telefon Rifqy tanyakan nombor telefon aku. Lantas nombor Rifqy aku dail, minta-minta dah habis meeting. Lama baru panggilan aku berjawab, itu pun panggilan pertama dan kedua tak diangkatnya. Sahlah dia masih dalam meeting lagi.
“Ada apa?” Terkejut aku, bukan nak bagi salam. Terus sergah je.
“Hadif ada telefon kau tak?”
“Kenapa dia nak telefon aku pula?” Suaranya bunyi macam tak senang je nak jawab panggilan aku.
“Aku dah lama tunggu dia ni, aku takde nombor telefon dia.”
“Nanti aku call dia.” Tak sempat aku jawab, terus dimatikannya telefon. Melangutlah aku kat depan entrance SACC Mall ni.
Tak lama lepas tu telefon aku bordering, Rifqy.
“Hello, kau tunggu kat main entrance, dalam dua puluh minit aku sampai.” Talian sekali lagi dimatikan tanpa sempat aku jawab. Kenapa pula dia kata dalam dua puluh minit dia sampai? Dia nak datang ambil aku ke?
Kurang ajar punya Hadif, aku rasa aku dah kena ‘kencing’ dengan si sombong tu. Tiba-tiba je muka aku panas membahang. Dekat dua jam aku menunggu dia kat sini. Merayau-rayau dalam mall ni macam orang baru lepas putus cinta. Sabar Afrina. Aku tarik nafas kemudian aku hembus perlahan.
Aku masuk semula ke dalam, sejuk sikit. Kebetulan ada event kat sini, adalah kerusi berderet kat tengah-tengah lobi ni. Aku duduk, lenguh kaki aku ni berjalan dan berdiri dari tadi. Ada persembahan kat pentas, aku layan je sementara menunggu Rifqy. Lebih kurang dua puluh minit lepas Rifqy telefon aku tadi, sekali lagi aku dengar telefon aku berbunyi.
“Kat mana? Aku ada kat luar ni.” Aku bangun menuju keluar. Sampai di perkarangan SACC Mall aku tercari-cari kereta Rifqy. Tak jumpa. Telefon berdering lagi.
“Aku kat sebelah kiri ni, CR-V biru.” Aku toleh ke kiri. Kereta siapa pula yang dia bawa ni? Baru je buka pintu kereta, dah kena sembur.
“Aku suruh tunggu depan entrance kan?”
“Panaslah.” Aku tarik seatbelt setelah meletakkan beg kertas berisi baju Rifqy di belakang.
“Dahlah aku tengah meeting, lepas tu tergesa-gesa datang ambil kau. Pastu nak menunggu kau pula” Aku pandang wajah lelaki yang berkaca mata hitam di sebelahku ini.
“Aku tak suruh kau datang ambil aku pun.” Suara dah naik sedikit. Aku dahlah penat buang masa kat sini, uruskan urusan kau, yang nak marah-marah aku ni apasal?
“Dah tu kenapa tak balik sendiri? Nak tunggu Hadif juga apasal?”
“Dia yang suruh aku tunggu, kalau tak aku boleh je balik sendiri. Kau ingat aku tak biasa ke naik bas? Hari-hari aku pergi kerja naik bas tahu tak?” Naik satu lagi level suara aku. Nasib baiklah bertutup kereta ni, kalau tak mahu orang kat luar dengar suara aku bertempik.
“Lain kali urusan personal kau, jangan suruh aku buat. Kalau banyak bunyi, buat sendiri.” Aku lihat dia diam di sebelah aku tapi sempat juga aku tengok dia cengkam kuat stereng keretanya. Tengah tahan marahlah tu. Nak marah terasa diri bersalah, tu yang duk cengkam je stereng.
“Aku nak lunch.” Tiba-tiba tukar topik.
“Aku dah lunch.” Aku pandang ke depan. Dia diam.
“Kau punya meeting dah habis ke?” Suara dah turun ke paras yang selamat.
“Hmm, tadi masa aku minta izin keluar, dah nak habis rasanya.” Dia pun dah turunkan suara. Aku angguk dan selepas tu masing-masing mendiamkan diri. Sejak akhir-akhir ni, kalau bergaduh, mesti akhirnya dia cuba nak mengalah, tapi taklah tunjuk depan-depan. Macam mana nak tahu yang dia tak nak teruskan pergaduhan, senang je. Dia akan diam dan tiba-tiba tukar topik. Tapi satu je belum berubah, walau salah siapa pun kami masing-masing takkan minta maaf. Dua-dua ego.
Lebih kurang pukul dua setengah aku dan Rifqy sampai di pejabat. Elok pula aku terserempak dengan Hadif. Dari jauh aku dah nampak yang dia senyum mengejekku, banggalah dapat kenakan aku. Aku buat seperti dia tak wujud di depanku dan berlagak tenang seolah-olah apa yang berlaku tadi tak terkesan langsung.
Dengan Hadif ni cara nak berhadapan dengan dia lain sikit. Kalau dengan Rifqy, walaupun sama agresif seperti Hadif, aku boleh ‘main’ lawan-lawan dengan dia. Tapi dengan Hadif, aku kena berlagak selamba selepas dipermainkan olehnya, jangan tunjuk yang aku marah sebab nanti dia lagi galak kenakan aku dan dia akan berlagak dengan kemenangan dia. Secara psikologinya, cara aku akan melemahkan dia. Akhirnya dia yang akan tertekan sebab semua rancangan dia tak berjaya walaupun sebenarnya aku rasa nak cakar-cakar muka dia.
“Kenapa kau ambil dia? Sejak bila dah jadi driver ni?” Aku dengar dia bertanya kepada Rifqy di belakangku. Malas nak melayan aku teruskan langkah menuju ke lif.
Ketika pintu lif terbuka, kami bertiga sama-sama melangkah masuk.
“Bukan kau ada meeting ke tadi dengan BOD? Wah, besar betul pangkat dia sampai kau boleh cabut dari meeting. Mesti papa bising.” Hadif masih terus bercakap.
“Stop Hadif. Aku tak larat nak dengar kau being sarcasm. Minta tolong sikit pun nak berkira.” Dari pantulan pintu lif aku lihat Rifqy menyandarkan tubuhnya di dinding lif.
“Aku tak kisah tapi aku dah bagi tahu aku tak nak bawa dia, kau suruh juga.” Hadif senyum sambil memeluk tubuh.
“She is my secretary. Tak salah kalau aku minta tolong dia. Aku suruh kau tolong ambil kau tak nak. Bukan lama pun, Moon nak bagi baju tu je.”
“Eww, kalau dengan Moon aku tak rasa yang aku akan sekejap. Bukan kau tak tahu mak nyah tu suka kat aku. Tak kuasa aku nak melayan dia, geli tekak aku ni.” Aku diam mendengar dua beradik itu berbalas cakap. Info baru ni, tak tahulah pula si Moon tu suka dekat si sombong ni.
Pintu lif terbuka, aku menuju ke tempat kerjaku dan aku lihat Hadif mengekori abangnya.
“Jangan ganggu aku boleh tak, pukul tiga ni aku ada appointment dengan Nizam. Aku nak rest kejap.” Belum sempat Hadif masuk ke dalam, Rifqy dah menghalang adiknya itu. Aku senyum.
Selepas Rifqy tutup pintu, Hadif melangkah menuju ke pejabatnya di tingkat lapan. Tapi macam biasa, setiap kali melintas depan meja aku mesti dia hadiahkan jelingan maut kat aku. Heh. Ada aku kisah.

Kenapalah hari ni aku asyik kena melayan anak-anak teruna (teruna ke?) si Zakaria ni? Waktu aku kat pantry, aku terserempak dengan Rafiq.
“Hai.” Dia tegur aku. Aku yang tengah bancuh kopi untuk Rifqy hanya hadiahkan senyuman buat dia.
“Penat ke?”
“Hmm?” Aku toleh sambil tangan mengacau kopi yang aku bancuh tadi.
“Nampak macam penat sangat.” Dia duduk di kerusi yang berada di tengah pantry.
“Biasalah bos, kerja.” Aku letak cawan berisi kopi di atas meja di hadapan Rafiq.
“Sedapnya bau, boleh buatkan untuk saya juga?” Dia hulurkan mug di tangannya.
“Eh, secretary bos mana?” Sengaja aku mengusiknya.
“Ala, itu pun nak berkira ke?”
“Siapa suruh bos jual mahal dulu? Saya dah bagi tahu kalau saya kerja dengan bos, saya akan buat apa saja. Jangan kata kopi, ABC pun saya sanggup buat.” Rafiq ketawa.
“Jenuhlah awak nak mengangkut mesin ABC kat sini.” Dia sambung ketawa.
“Sekarang ni dah modenlah bos. Ada je mesin ABC yang comel, dah tak perlu angkut yang besar gedabak tu.”
“Rindu saya nak dengar awak mengarut Af.” Dia senyum. Alahai, bos tak payahlah senyum-senyum menggoda macam tu, saya tak tergoda.
Setelah selesai membancuh kopi untuknya aku hulur mug tadi kepada dia. Terus dihirupnya.
“Panas tu bos.” Sepaket biskut aku hulurkan kepadanya tapi dia menggeleng. Cadangnya nak temankan Rafiq di pantry (baik betul kau nak temankan dia ye Afrina?) tapi belum sempat aku duduk, ternampak satu ‘lembaga’ berdiri di muka pintu pantry. Alamak.
“Bos, sorry tak dapat temankan bos. Nak hantar ni kat tuan besar.” Sempat aku berbisik sebelum mengangkat cawan berisi kopi dan sebungkus kecil biskut untuk Rifqy. Rafiq mengangguk.
           Semasa melintas di hadapan ‘lembaga’ tadi, sempat dia hadiahkan jelingan kat aku. Hai, hari ni aku dapat banyak betul hadiah jelingan. Kalau boleh jual dah kaya ni.

No comments:

Post a Comment