Pages

Wednesday, March 11, 2015

MINI NOVEL: CINTA BUATMU PART 7


PART 7

“Cikgu, ummi jemput datang rumah hujung minggu ni.” Aku pandang wajah Amar. Bekas makanan yang kuhulurkan kepadanya disambut.
“Buat apa?”
“Nak buat doa selamat sikit. Yelah sayakan baru lepas accident dengan Cik Bi.” Anak muda di depanku tayang sengihnya.
“In sha allah.”
“Cikgu kena datang juga. Wajib. Ummi dah pesan ni.” Mukanya berkerut ketika dia menuturkan kata-katanya. Dah macam mengugut aku pula budak ni.
“Kan saya dah cakap In sha allah. Kalau takde apa-apa saya datanglah.” Dia masih berdiri di tepi mejaku dengan wajah yang masih belum berpuas hati.
“Mesti datang tau, ajak cikgu Aisya sekali. Ummi dah pesan, suruh cikgu datang juga, papa pun sama.” Ya, Allah budak ni. Karang ada yang pembaris hinggap atas kepala ni.
“Yelah.” Suara aku sedikit tinggi hingga Kak Ros yang berada di meja berhadapanku turut menjenguk kepalanya ke depan dan aku hanya mampu sedekahkan senyuman manisku.
Dan Amar pula, tayang sengihnya dengan bangga. Sukalah tu dapat buat aku naik angin.
“Terima kasih balas balik bihun sup ummi hari tu. Ini cikgu masak sendiri ke cikgu beli?” Dia belek-belek bekas makanan yang berisi kek coklat itu. Tak tahu nak balas apa, dan semalam rajin sikit, tu yang aku buat kek .
“Saya jumpa tepi jalan.” Aku pula dah ikut perangai budak ni suka buat ‘loyar’  buruk.
“Sampai hati cikgu.” Dia buat muka ala-ala sedih. Heh, malas aku nak melayannya.
“Dahlah, pergi balik kelas. Nak habis waktu rehat dah ni.” Aku siap buat tangan aku macam halau ayam tu.
“Abang Ryan mesti suka ni.” Aku mendongak memandangnya, siap aku jegilkan mata sepet aku.
“Ok, ok cikgu, terima kasih dan jangan lupa hujung minggu ni. Pakai cantik-cantik sikit.” Sempat dia ketawakan aku sambil berjalan keluar dari bilik guru.
“Nakal betul Amar tu, Kak Ros tengok dia suka betul usik Ria.” Aku hanya senyum memandang Kak Rosnah di hadapan.
“Riana, tunggu apa lagi? Jomlah.” Aku terkejut. Perbualan antara aku dan Amar tiga hari lepas lenyap dek sergahan Aisya. Aku dan Aisya kini berada di hadapan pintu pagar rumah Amar. Dari luar, sudah kelihatan dua buah khemah di perkarangan rumah dan tetamu masih belum ramai, yelah awal lagi. Ini semua Aisya punya pasal. Teringat perbualannya dengan Aisya semalam.
“Takkanlah nak datang waktu makan kot? Ummi dia dah kenal kau, datanglah awal-awal sikit, boleh juga tolong apa-apa yang patut.”
“Nak tolong apa bendanya? Sah-sah dia orang tu upah catering.” Sekarang ni dah kurang aktiviti gotong-royong waktu kenduri. Kat kampung pun orang upah catering je, nak-nak keluarga Amar tu berduit.
“Tak kisahlah dia orang upah catering ke tak, kau kenalah tunjuk muka awal sikit. Lagipun macam tak manislah datang waktu makan lepas tu balik.” Apa hal si Aisya ni beria-ia nak pergi awal? Memanglah aku dah jumpa ummi Amar tapi baru sekali je kot, bukannya tahap mesra ibarat mak mertua aku. Eh, Ria ayat kau tu semacam je. Dan akhirnya aku tahu kenapa si Aisya ni beria-ia nak datang awal. Nak tengok dan ronda-ronda dalam rumah Amar. Katanya, kalau datang time makan, for sure dapat tengok kat luar je. Kalau datang awal mesti ummi Amar jemput masuk dalam. Ceh.
“Riana, sampai pun.” Aku senyum sambil menghulurkan tangan bersalam dengan Makcik Zaharah.
“Assalamualaikum mak cik. Ini Aisya, kawan saya.” Dia menyambut salam aku dan beralih kepada Aisya selepas aku perkenalkan Aisya.
“Cikgu juga?” Aisya mengangguk.
“Jom masuk.” Makcik Zaharah memegang lengan aku, berpimpin menuju ke dalam rumah. Sempat dia perkenalkan kami berdua kepada orang kampung dan saudara-maranya yang berada di sepanjang jalan menuju ke dalam rumah.
Di muka pintu aku terserempak dengan Ryan yang segak berbaju melayu hitam. Segak? Ini apa hal aku puji-puji dia ni? Tapi memang segak pun. Misai ngan jambang nipis yang a little bit scruffy tu dah takde. Tapi rasanya handsome gak masa dia ada misai ngan jambang aritu. Ew, bukan ke aku tak suka lelaki berjambang? Bila masa tukar pulak ni? Dia senyum pada aku dan Aisya sambil memberi laluan kepada kami untuk masuk ke dalam rumah.
Aku pandang sekilas wajahnya, tapi tak pula aku balas senyumannya. Aisya, aku tak tahu sama ada dia balas senyuman Ryan atau pun tidak.
“Ria dengan Aisya duduk dulu ya? Mak cik nak keluar kejap.” Aku mengangguk sebab belum sempat aku membalas, Makcik Zaharah dah melangkah menuju ke pintu. Lajunya.
Aku dan Aisya bersalam dengan beberapa orang yang berada di ruang tamu itu. Bila mereka tahu yang aku dan Aisya mengajar di Simpang Beluru, makin rancak mereka berbual dengan kami. Ada yang bertanya sama ada kami ada mengajar anak merekalah, kenal tak cikgu inilah, cikgu itulah dan terselit juga soalan dah kahwin ke belum? Dan paling best siap nak perkenalkan aku dan Aisya dengan calon-calon yang terdiri dari anak saudaralah, anak jiran, anak saudara kakak ipar, adik, sepupu, haish, ramai jugalah.
Mereka berhenti dari menyenaraikan calon-calon bila Ryan duduk bersila di sebelah aku.
“Sedap kek yang awak beri hari tu. Beli ye?” Dia berbisik di telinga aku. Kurang asam betul. Tak malu ke, makcik-makcik ni tengok. Aku bergerak sedikit untuk menjauhkan jarak kami.
“Awal awak datang, nak tolong masak ke?” Aku buat tak dengar. Malas aku nak layan, tadi bukan main suci dan murni imej aku depan makcik-makcik ni. Tapi rasanya dah turun sikit tahap imej suci murni aku tadi. Mesti makcik-makcik tu dah menyesal perkenalkan kat aku calon-calon jodoh tadi.
“Awak ikut saya sekejap.” Dia pegang pergelangan tangan aku. Mungkin disebabkan aku terkejut, sepantas kilat aku cuba merentap tangan aku tapi kejap pula pegangan tangannya.
Tanpa perasaan, dia bangun membuatkan aku turut terbangun. Beg tangan di riba jatuh ke lantai bila aku berdiri. Aisya hanya memandang dan mengambil beg tanganku lalu meletakkan di ribanya, kemudian aku lihat dia menyambung sembangnya bersama makcik di sebelahnya. Tak pandang pun kat aku.
Ryan mengheret aku menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas.
“Ryan awak nak bawa saya ke mana ni?” Aku cuba menarik tangan aku dari pegangannya.
“Ryan.” Dia buat tak dengar panggilanku.
“Majlis kat luar bukan kat atas.” Di tengah-tengah ‘pendakian’ seorang lelaki yang aku kira abangnya (sebab muka lebih kurang sama) menegur kami.
“Mind your own business.” Suara Ryan tak semesra waktu dia mengusik aku di bawah tadi. Abangnya aku lihat hanya menjungkitkan bahu sebelum melangkah meninggalkan kami. Eh, abang tak nak tolong saya ke? Kang kalau adik awak buat apa-apa kat saya camne?
Sampai di tingkat atas, Ryan membawa aku ke ruang tamu. Ada dua ruang tamu di tingkat atas. Di sudut kiri, ruang tamunya lebih kepada ruang keluarga bersantai untuk menonton televisyen. 

Di sudut sebelah kanan pula, ruang tamunya sedikit kecil, hanya ada dua sofa dan rak-rak buku. Ryan membawa aku ke ruang tamu yang pada aku tempat mereka membaca.


Dia lepaskan pegangannya dan duduk di sofa. Aku mengambil peluang untuk melangkah meninggalkannya namun belum beberapa langkah, dia menarik lengan aku sehingga aku terduduk di sofa.
Dia menghalang aku dari bangun dengan kedudukannya di hadapanku.
“Ryan.” Aku menolak bahunya, tindakanku itu membuatkan dia hilang keseimbangannya dan nyaris jatuh dari sofa. Dia bangun dan duduk di sebelahku.
“Kenapa awak sombong sangat?” Aku pandang Ryan. Amboi sedap-sedap kata aku sombong ni apahal?
“Perlu ke awak ignore saya macam saya tak wujud depan awak?”
“Kenapa awak nak emo sangat? Suka hati sayalah nak menyombong ke apa .” Tiba-tiba wajah aku rasa panas. Mujurlah aku ni tak putih melepak macam Aisya, kalau tak mahu merah muka aku menahan marah.
“Tapi susah ke nak balas senyuman saya? Jawab soalan saya?” Dia bertanya lagi.
“Tak susah. Tapi saya takde mood nak bermesra-mesra dengan awak.” Dia ketawa kecil. Aku pandang dia dengan muka berkerut. Kejap dia marah, kejap ketawa. Tak faham aku dengan perangai si Ryan ni.
“Awak cakap dah maafkan saya, tapi cara awak layan saya macam saya ni masih musuh awak.”
“Memang saya dah maafkan awak tapi tu tak bermakna yang saya boleh tiba-tiba nak beramah-tamah dengan awak. Lagi pun saya tak tahu awak ni betul-betul dah berubah ke tak.” Dia menyandarkan badannya di sofa, kepala memandang ke atas. Agaknya dia fikirkan apa yang aku cakap.
“Azreen, saya akui dulu saya muda, tak berakal, suka buat benda bukan-bukan. Semua tu just for fun. Tapi sekarang ni kalau saya suka kat seseorang saya suka dia betul-betul. Takde dah nak bertaruh-taruh ni dear.”
Macam dah lain je bunyi arah perbualan kami ni. Aku bangun sebab aku tak nak pening kepala fikir soal hati dan perasaan ni lagi.
“Ryan, saya tak nak komen apa-apa, kalau dah ditakdirkan awak jodoh saya nanti, saya terima. Tapi buat masa ni saya malas nak fikir, malas nak serabutkan kepala saya. Saya bukan lagi remaja yang suka bila ada lelaki luahkan perasaan kat dia. Saya bukan lagi remaja yang hari-hari ‘duk kelek’ handphone, main-main mesej dengan boyfriend.” Aku melangkah menuju ke anak tangga dan dia juga bangun dan mengikut aku dari belakang.
“But, I’ll be waiting until you can accept me.” Perlahan dibisikkannya di belakang telingaku.

***********************

“Apa yang korang berdua buat kat atas?” Belum sempat aku buka tudung dan kaki pun baru je melangkah masuk ke dalam rumah, Aisya dah menyerang aku. Tak tahan sangatlah tu. Dari rumah Ryan lagi dia dah nak bertanya tapi aku cubit lembut pahanya menahan dia dari bertanya. Masuk dalam kereta pun dia bertanya lagi tapi aku letak jari telunjuk di mulut suruh dia diam. Nampaknya dah sampai rumah dia memang tak boleh tahan.
Aku duduk di sofa, tudung di buka, ikatan rambut dilonggarkan kemudian aku sanggul tinggi rambutku. Panas.
“Takde apa. Dia tanya kenapa aku tak senyum kat dia, kenapa tak jawab soalan dia?”
“Hah, takkan itu je.” Aisya tak berpuas hati. Tudung dikibas-kibas buat mengipas diri dia yang sedang kepanasan itu.
“Dah tu, nak buat apa pula? Bukannya kita orang berdua kat atas tu. Kau ingat kita orang buat benda tak senonoh apa?” Remote di atas meja aku capai, televisyen aku buka.
“Dia ajak kau couple dengan dia balik ke?” Aku geleng kepala. Rasanya takde pula dia terang-terang ajak aku couple balik.
“Kalau dia ajak kau couple balik dengan dia macam mana?”
“Macam mana apanya?” Ingat aku ni budak sekolah ke nak ‘couple-couple’ ni.
“Yelah, kau nak terima dia ke tak?”
“Entah. Malaslah nak fikir benda ni Aisya.” Aku jawab acuh tak acuh. Aisya di sebelah lagi kuat mengipas, benganglah tu.
“Hish. Kenapalah kau suka buat telenovela Mexico, Venezuela ni? Buat drama Melayu ke, Jepun ke atau Thai, tak boleh ke?” Dari menghadap aku akhirnya dia hempas badan ke sofa.
“Drama Melayu tak puas tengok, sekejap sangat dah sampai penghujung, sebab tu aku bagi kau telenovela.” Aku sengih.
“Heh, menyampah. Buat rugi je buat drama lama-lama. Awak tu bukan makin muda.”
“Dah-dah. Sebelum kau melalut, aku nak mandi, nak solat dah lewat sangat ni.” Aku bangun menuju ke bilik. Aisya masih merungut-rungut di sofa, masih tak puas hatilah tu.


Aku melangkah masuk ke bilik guru. Sampai di meja aku letakkan buku. Kepala tengah berserabut sebenarnya. Semalam Uda call, suruh aku balik cuti hujung minggu ni. Katanya ada hal penting yang nak dibincangkan. Puas aku pujuk suruh dia beritahu intisari berita penting kat aku semalam tapi dia suruh balik dulu baru abah akan bagi tahu.
Agak-agaknya apalah yang penting sangat tu. Ada orang masuk meminang ke? Bukan aku dah awal-awal bagi tahu kat abah ngan uda yang jangan pandai-pandai terima pinangan orang. Aku belum bersedia lagi nak berumah tangga.
“Apa hal mengeluh ni?” Kak Sari yang duduk di meja sebelah kanan aku menegur. Kuat sangat ke aku mengeluh. Astaghfirullahalla’zim. Tak baik kau mengeluh Riana.
“Takde apa-apa kak.” Aku tayang sengih.
“Ye ke takde apa-apa? Jarang Ria sengih-sengih macam ni. Selalu tu muka serius je.” Kak Sari mengusik.
“Dia tersampuk badi si Amar la tu Sari.” Ewah, Kak Rosnah ni telinga lintah betul.
“Badi Amar? Kak Ros jangan main-main dengan badi ni, bahaya.” Macam makin melarat je perbualan ni. Kak Sari dengan Kak Ros ni memang kuat mengusik. Tu belum campur Kak Ida yang duduk sebelah Kak Ros. Cikgu Liew pun sama naik juga, kalau dah cukup korum. Kalau Cikgu Rahmat dengan Cikgu Hamdan dengar geng kita orang berenam ni bergelak sakan, mulalah melangkah ke tempat kami. Mujurlah meja kami berenam yang paling hujung, taklah mengganggu cikgu-cikgu lain.
Yelah, walaupun satu sekolah bukan semua satu kepala. Bertegur-sapa tu biasa, tapi cikgu-cikgu pun ada klik juga. Aku mana-mana pun boleh masuk tapi yang paling rapat mungkin dengan yang berlima nilah termasuk Aisya.
“Yelah, Sari. Amar tu kan suka menyengih. Kita marah pun dia boleh tayang sengih dia.” Hai, Amar famous betul kau sampai Kak Rosnah yang tak mengajar kau pun boleh tau perangai kau.
“Memang pun kak. Hari tu masa kat lab, Sari suruh dia orang ambil barang untuk buat eksperimen. Akak tau goggle tu dia pakai lepas tu dia main berenang kat belakang. Bila Sari marah, dia boleh sengih sambil pakai goggle tu. Cubalah akak bayang dia sengih sambil pakai goggle. Dari marah sudahnya Sari gelak.”
“Iye? Perangai macam-macam tapi best student.”
“Dah gen pandai-pandai kak.” Tiba-tiba aku menyampuk.
“Eh, macam kenal je ngan family Amar.” Kak Sari pandang aku.
“Hah?” Alamak macam mana boleh terkantoi ni?
“Bapa dia kan bekas hakim. Lagipun saya dengar budak-budak cerita adik-beradik dia pandai-pandai.” Aku sengih pandang muka Kak Sari.
Kak Sari geleng kepala sambil tersenyum.
“Kenapa yang akak tergeleng-geleng ni?” Aku bertanya pelik.
“Kak Sari suka tengok Ria sengih-sengih macam ni, nampak sweet and cute. Kalau selalu macam ni, mesti cikgu-cikgu bujang sangkut tengok Ria.” Eh, Kak Sari ni.
“Mana, mana, cer Kak Ros nak tengok.” Kak Ros bangun menjenguk ke depan.
“Kak Ros ngan Kak Sari ni suka usik Ria tau.” Aku tarik muncung, konon-konon merajuk. Kak Sari dengan Kak Ros ketawa. Aku tengok Cikgu Rahmat dah datang menghampiri tempat kami. Nak joinlah tu. Dia bukan boleh tahan tengok geng kami bergelak ketawa.

**************************

Sebaik je aku belok kereta aku masuk ke simpang rumah, aku dah nampak dua buah khemah. Kereta Kak Long dengan Alang pun ada. Apahal ni? Dada dah berdebar semacam. Apakah perkara yang aku duk fikir-fikir dua tiga hari ni bakal menjadi kenyataan? Oh, tidak. Kalau betul, sampainya hati abah dengan uda tak kasi tau aku.
Aku parkir kereta di bawah pokok rambutan, di tepi sawah. Bersalam dengan makcik-makcik yang sibuk menyiang di tepi dapur. Terserempak dengan Kak Long, tangannya kusalam dan dia tersengih-sengih memandangku.
“Dah sampai pun.” Belum sempat aku bertanya, uda dah menegur sambil kakinya membawa langkah menghampiri aku. Aku salam tangan dan pipinya kucium. Dia juga cium pipi aku siap dengan dahi sekali. Memang begitulah uda kalau dengan aku. Walaupun cuma anak tiri tapi sayangnya pada aku macam aku ni anak kandungnya. Dengan adik-beradikku yang lain takdelah macam ni. Mungkin dari kecil aku yang dibelanya, malah aku turut disusukannya. Jadi tempat aku memang istimewa di hati uda, bukan sekadar anak tiri tapi juga anak susuannya.
“Mari ikut uda.” Tangan aku ditariknya menuju ke dalam bilik. Abah di ruang tamu dipanggil. Dada semakin berdebar.
Elok abah labuhkan punggung di atas katil, dia pegang tangan aku sebelum sempat aku bersalam dengannya.
“Pertama abah nak minta maaf.” Abah bersuara. Kenapa pula abah nak minta maaf dengan aku? Salah apa yang abah ada buat dengan aku?
“Adik pernah pesan dengan abah, dengan uda tok sah terima kalau ada yang masuk meminangkan?” Aku angguk. Rasa macam kolam mata ku berair. Aku macam dapat rasakan apa yang abah dah buat.
“Bulan lepas keluarga Imam Dollah, ada hantaq rombongan. Depa duk berkenan dengan hang. Depa nak jodohkan hang dengan anak depa yang baru balik dari Mesir tu. Abah berkenan tengok budak tu. Abah rasa dia sesuai sangat dengan hang.”
“Abah.” Aku bersuara lemah.
“Abah rasa tak dak laki lain yang sesuai untuk adik. Fariz tu doktor, beragama pulak tu. Baik dengan orang tua. Abah yakin yang dia boleh jadi suami yang baik untuk hang, dik.”
“Adik tak kenai dia. Lagipun adik tak sedia nak kahwin lagi.”
“Abah ngan arwah mak hang dulu pun tak pernah kenai tapi abah bahagia sampai mak hang meninggai.” Mana boleh abah samakan dulu dengan sekarang.
“Adik, hang dah ada kawan ka?” Aku pandang uda kemudian aku gelengkan kepala.
“Jadinya tak dak masalahlah kan?” Uda bertanya.
“Tapi kenapa abah ngan uda tak kasi tau adik? Pasai apa abah ngan uda terima pinangan tu. Adik tak mau kahwin lagi.” Aku dah tersengguk.
“Kalau kami bagi tau, hang setuju ka?” Aku geleng.
“Kan. Pasai tu lah kami tak mau kasi tahu hang. Hang nak tunggu apa lagi? Umoq hang dah banyak. Kak long hang masa umoq macam hang dah anak sorang.” Kenapalah nak banding-bandingkan aku ngan Kak Long pula.
“Adik, abah berkenan sungguh dengan Fariz tu sebab tu abah tak teragak-agak terima dia. Abah yakin dia mampu bahagiakan hang, bagi hidup hang senang.” Ya, Allah abah, siapa kita nak tentukan susah senang? Semua tu Allah yang tentukan.
“Habis tu majlis ni untuk adik ka?” Abah mengangguk. Aku picit dahiku. Tiba-tiba kepalaku rasa seperti dicucuk-cucuk.
“Kalau ikut depa nak nikah terus tapi abah ngan uda minta bertunang dulu. Hang ambillah masa untuk kenai dengan dia. Abah percaya hang mesti suka dengan dia.” Aku tunduk. Bukan akulah kalau nak membangkang kata-kata abah dengan uda. Besar jasa mereka pada aku. Kalau mereka rasakan yang ini adalah terbaik untuk aku, aku redha.

***************************

Aku melipat baju kemudian aku masukkan ke dalam beg. Fikiran melayang entah ke mana. Uda riuh di luar mengarah abang long dengan alang mengangkat kawah untuk dibasuh. Majlis pertunanganku telah pun selesai semalam.
Setelah siap mengemas beg, aku mencapai selendang yang tergantung di hujung katil. Kaki melangkah menuju ke cermin. Jelas terlihat mataku yang bengkak. Dahlah mata sedia sepet, lagi bertambah sepet mataku, gara-gara menangis tengah malam tadi. Mengadu nasib dekat Aisya. Pada mulanya Aisya ketawa, menyangkakan yang aku bergurau. Dah bertahun berkawan dengan aku, masih tak tau ke yang aku ni bukan kaki gurau. Akhirnya, aku terdengar yang Aisya pun menahan sebak bila dengar aku dah tersedu-sedan. Paling tak boleh tahan siap boleh kesiankan Aryan. Apahal pula?
“Adik.” Aku toleh ke arah pintu yang ditolak dari luar. Wajah kak long terjengul di muka pintu. Dia duduk di atas katilku.
“Are you okay?” Aku menyemat pin di bahu kemudian memandangnya. Seulas senyuman aku hadiahkan kepadanya.
“Dah selesai pun kak long.” Aku mencapai handbag, mencari perfume yang aku masukkan tadi, terlupa belum kusembur lagi wangian ke badanku.
“Really? Can you accept him as your husband? Even you don’t know him.” Haish, kak long ni. Nak bersikap derhaka, kakak kandung. Tapi soalan memang macam nak menghiris jantung dan hati aku.
“I’m okay kak long. Adik percaya keputusan abah dengan uda adalah yang terbaik. Kalau pun suatu hari nanti jadi apa-apa, adik takkan salahkan dia orang. Mesti ada hikmah yang Allah berikan.” Aku lihat dia jungkit bahu. Aku tahu dalam hati mesti kak long kata aku bodoh sebab ikut cakap abah dengan uda.
“Kenapalah baik sangat? They have no right for your life. Yang nak hidup dengan laki tu is you. Esok-esok kalau jadi apa-apa awak tu yang suffer.” Aku pandang kak long yang bertutur slang UK. Bangga sangat. Yelah, bertahun duduk sana dan baru lima, enam bulan balik Malaysia. Tapi abang long tu aku tengok ok je, kengkadang keluar dialek Kelantan dia.
“Kak long, apa pula dia orang takde right for our life. Kalau takde dia orang, takde kita kat dunia ni. So, tak salah kalau selagi dia orang hidup, kita dengar cakap dia orang.”
“Adik, don’t make that as an excuse. Apa, kalau dia orang lahirkan kita, they have 100% control with our life? I’m not saying that we should ignore all their sacrifices and efforts untuk besarkan kita. Tapi kita dah besar kot. We have our own right to choose the best for our future.” Malas rasanya nak bertekak dengan kak long ni. Mana pernah nak kalah.
Kak long dengan angah sama je. Dari aku kecil lagi, aku selalu tengok dia orang bertekak dengan abah dan uda. Angah sampai sekarang tak pernah balik kampung lepas marahkan abah. Rasanya dah lima tahun. Gara-gara uda tegur isteri dia. Memang silap besarlah, nak-nak kak long dengan angah yang paling kuat menentang abah kahwin dengan uda.
Waktu abah kahwin dengan uda, usia aku baru dua bulan, uda janda yang baru kematian bayinya. Jarak antara aku dengan adik beradikku memang jauh. Waktu tu kak long dah 16 tahun, angah pula 14 tahun dan alang 6 tahun. Apa yang buat kak long dan angah marah sangat sebab arwah ibu baru dua bulan meninggal dan abah, kata mereka gatal nak kahwin lagi.
Aku pun tak rapat sangat dengan mereka berdua. Nak-nak dia orang pernah bagi tahu yang sebab akulah ibu meninggal. Lagi memburukkan keadaan kedua-duanya bersekolah di asrama penuh. Bila cuti, banyak masa dia orang habiskan kat rumah tok wan sebelah ibu di Jitra. Habis sekolah sambung belajar di oversea dan kak long terus bekerja dan menetap di sana. Kalau pun rapat mungkin dengan alang, tapi abangku yang seorang ni tersangatlah pendiam.
“Apa-apalah kak long. Kalau jadi yang buruk-buruk, bukan salah abah dengan uda tapi Allah yang tetapkan begitu. Adik bukan nak perjudikan hidup adik tapi adik berserah pada Allah. Kalau ini yang terbaik adik mohon biarlah kekal ke akhir hayat tapi kalau sebaliknya adik mohon Allah tunjukkan pada adik.” Aku lihat kak long menjuihkan mulutnya. Biarlah, susah bercakap dengan mat saleh celup ni. Otak tu dah terpengaruh dengan budaya liberalism agaknya. Jujurnya aku sendiri rasa yang aku ni hipokrit. Apa yang aku cakap sebenarnya bukanlah dari hati aku. Namun, aku akur kalau ini yang dapat gembirakan abah dan uda. Cukuplah kak long dan angah je yang buat perangai.

***************************

Aku merenung ke luar jendela kelas, hampir 3 bulan aku menjadi tunangan orang dan aku ada 3 bulan lagi sebelum bergelar isteri kepada Fariz. Bersediakah aku untuk menjadi isterinya? Menjadi isteri kepada lelaki yang aku tak kenali dan tak juga aku cintai. Apa betul ke apa yang Kak Long kata? Aku ni bodoh sebab sanggup memperjudikan hidup aku?
Aku pandang wajah pelajar-pelajarku yang sedang kusyuk menyiapkan latihan yang aku beri. Pandanganku jatuh pada Amar yang tekun membuat kerjanya. Beberapa hari ni aku perasan yang waktu kelas aku, dia dah tak mengusik aku malah mengacau kawan-kawannya pun tidak. Kalau dia turun ke bilik guru pun, dia dah tak mengacau aku lagi. Selalu tu suka sangat melencong ke tempat aku.
Kalau bertembung dengan aku di tengah jalan, dia memberi salam dengan wajah yang serius. Ada kaitan dengan apa yang berlaku minggu lepas ke? Teringat pertemuan aku dan Aryan di JJ hari Ahad lepas dan yang pastinya aku tak boleh melupakan wajah terkejut Aryan ketika diperkenalkan Fariz sebagai tunangku. Dan aku tahu, dia bukan saja terkejut tapi menahan marah.
“Maaf, dah nak masuk tiga bulan kita bertunang baru hari ni saya dapat jumpa awak.” Itu ayat kedua dari Fariz sebelum dia duduk di hadapanku selepas memberi salam. Sepanjang bertunang, hanya sekali aku melihat wajahnya apabila uda beri sekeping gambar untuk aku simpan. Gambar tu pun selamat je duduk kat dalam laci dalam bilik aku. Siapa dia untuk aku tatap hari-hari, belum pun bergelar suami aku. Dan sepanjang bertunang yang hampir berusia tiga bulan ni boleh dikira berapa kali dia hubungi dan mesej aku. Aku pun tak pernah ambil inisiatif untuk hubungi dan mesej dia.
Entah kenapa hati aku berat sangat dengan pertunangan ni. Aisya suruh aku buat solat Istikharah dan hasilnya memang tak memuaskan. Kalau takde apa-apa keuzuran aku memang buat solat istikharah tapi hati aku kuat mengatakan yang dia bukanlah jodoh untukku. Aku sendiri tak tahu mengapa, kalau dilihat dari penampilannya takde apa yang kurang. Perbuatan dan pertuturannya sangat teratur. Selayaknya dia sebagai anak seorang imam dan bekas penuntut universiti di Mesir.
“Takpe, saya faham awak tentu sibuk. Lagipun awak jauhkan.” Dia senyum sambil membetulkan cermin matanya.
“Saya tak sabar tunggu saat kita diijabkabul. Waktu tu saya dapat bersama dengan awak hari-hari.” Dia senyum. Manis dan indahnya ciptaan Allah.
“Lepas kita kahwin awak nak tukar kat sini ke?” Aku bertanya.
“Taklah. Awaklah kena bertukar ke KL. Sayakan baru je bertugas, tak bolehlah sesuka hati minta tukar.” Bertukar? Aku tak pernah terfikir pun soal pertukaran malah tak terlintas langsung nak jenguk website pertukaran guru.
“Kenapa?” Dia bertanya bila dilihat aku hanya diam.
“Takde apa-apa. Saya tak buat permohanan pertukaran lagi. Kalau buat pun tak pasti diluluskan atau tak. Saya pun baru dua tahun bertugas. Semuanya bergantung pada kekosongan.” Aku senyum.
“Kalau tak dapat bertukar awak sanggup ke duduk asing-asing. Saya susah nak turun ke sini selalu. Nampaknya awaklah yang kena ke KL. Lagipun cikgu banyak cutikan?” Dia menyedut air di hadapan yang telah aku pesan sebelum dia sampai tadi. Aku hanya mengangguk mendengar kata-katanya.
“Ariana, sebelum kita kahwin saya nak dengar pandangan awak tentang saya.” Aku pandang wajahnya. Ariana? Kau nak kahwin dengan aku lagi berapa bulan je tapi nama aku pun kau tak tahu. Aku yang tak berapa rela ni pun tahu nama penuh kau. Muhammad Fariz Shah bin Abdullah Khairi. Siapa yang nak berakad nanti?
“Maaf, nama saya Riana bukan Ariana.” Aku tegurnya, lantaklah. Dari dia malu kat tok kadi nanti baik aku tegur sekarang.
“Ops, maaf. Selalu nama orang Ariana, tak pernah pula dengar nama Riana. Itu yang payah kalau nama macam orang putih ni. Ada maksud tak nama tu?” Aku terkedu. Nampak macam Doktor Muhammad Fariz ni dah menyingkap sedikit demi sedikit tabir yang menutup diri dia.
“Setahu saya takde. Abah letak nama saya Ariana Azreen tapi waktu tu kelam kabut dengan urusan arwah ibu jadi dia tak check orang yang rekodkan nama saya tu tertinggal huruf A.” Aku menjelaskan seperti apa yang pernah abah ceritakan pada aku dulu.
“Hmm, tapi seeloknya biarlah nama tu ada maksud dalam Islam. Nama tu mencerminkan siapa kita. Elok maknanya maka eloklah pekerti seseorang tu.” Rasa macam nak membulat je mata sepet aku ni. Apa aku ni tak eloklah budi pekerti, sebab nama aku takde makna? Hish, kecik besar je aku tengok doktor ni.
“Maaf, saya takde niat nak memburukkan atau buat awak terasa tapi nanti kalau kita ada anak biarlah namanya jelas maksudnya.” Ya Allah, apa ini salah satu petunjuk atas solat yang aku dirikan selama hari ini?
“Kita order makan dulu ye? Saya lapar, tadi tak sempat breakfast. Habis duty malam tadi sampai rumah dah nak masuk waktu Subuh. Lepas Subuh tadi saya tidur sekejap lepas tu tergesa-gesa drive ke sini.” Aku hanya senyum mendengar kata-katanya. Apa aku ni yang menyusahkan dia ke? Bukan dia yang minta nak jumpa aku ke?
Usai kami makan, aku minta izin untuk ke kedai buku dan dia menemaniku. Tak tahu lepas ni nak ke mana. Nak ajak dia tengok wayang, tak ke sebakul aku dapat ceramah dari dia nanti. Pakaian yang aku pakai ni pun dia dah sedekahkan aku ceramah sepinggan. Rasanya tak lah seksi sangat, aku pakai blaus yang tutup bahagian punggung dan skirt labuh warna hitam. Jarang aku pakai skirt tapi memikirkan yang dia ni lulusan dari Mesir mesti dia tak suka aku pakai seluar. Selendang yang aku pakai ni pun dia tegur. Katanya lebih manis kalau aku tutup bahagian dadaku.
Aku pandang selendang yang aku pakai, rasanya aku dah tutup bahagian dada, tang mana pula aku duk tunjuk bahagian tu kat orang. Memanglah apa yang dia tegur tu ada betulnya tapi bagi aku tak salah berpakaian selagi kita mengikut syariat yang telah ditetapkan dalam Islam dan rasanya aku memenuhi kesemuanya kecuali kakiku tak berstokin. Agaknya pada dia apa yang mengikut syariat Islam tu bila mana seorang perempuan berjubah, bertudung labuh dan berpurdah. Tak lupa juga berstokin. Agaknya kalau aku pakai baju kurung jumpa dia pun masih belum memenuhi syariat pada pandangannya. Malas nak bertekak aku diamkan aje, aku ni bukanlah alim dan arif dalam soal hukum ni. Aku masih belajar dan masih mengharapkan bimbingan dari orang yang lebih arif.
“Azreen.” Aku menoleh memandang lelaki yang berdiri di sebelah aku. Aryan.
“Seorang je?” Dia menegur aku ramah. Aku? Saat ini kalau ditoreh dengan pisau pasti tak berdarah wajahku.
“Kenapa awak tak balas bila saya call atau sms awak? Amar ada bagi tahu awak yang saya tak dapat call awak?” Aku angguk. Aku tahu soalan ini pasti akan ditanyanya malah Amar pun selalu bertanya kenapa aku tak jawab bila abangnya telefon. Terpaksalah aku menipu yang aku tak dapat pun panggilan dari Aryan. Dan si penyiasat Amar tu akan mengorek lebih banyak sebab jawapan aku tersangatlah rapuh. Sangat mustahil kerana sebelum ini elok je abang dia call dan sms aku. Alih-alih sekarang tak dapat pula, bukannya aku tukar nombor telefon pun.
“Assalamualaikum.” Aku pejam mata saat suara di belakangku menyapa.
“Saya Fariz, tunang Azreen. Kawan Azreen ke?” Azreen, akhirnya dia putuskan untuk panggil aku Azreen. Aku pandang wajah Aryan saat pertanyaan itu diajukan oleh Fariz.
“Ha..haah, kawan Azreen.” Ada kalut di hujung ayatnya.
“Cikgu juga ke?” Ramah Fariz bertanya.
“Tak. Saya jurutera.” Aku lihat wajah Aryan yang semakin tegang.
“Oh, macam mana boleh kenal?”
“Satu universiti dulu. Hm, takpelah. Menganggu awak berdua dating pula. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” Aryan berlalu meninggalkan kami berdua dan aku tahu yang dia sedang menahan marah. Tak pasti kenapa dia perlu marah. Kami tiada hubungan yang lebih dari kawan. Walaupun ada ketikanya dia mengharap agar hubungan kami bertukar ke peringkat yang lebih dari sekadar kawan namun, aku tak pernah memberikan apa-apa harapan kepadanya.
Loceng peralihan waktu berbunyi sekali gus melenyapkan ingatanku pada kejadian hari Ahad lepas.
“Dah siap ke?” Bercampur jawapan yang aku terima. Ada yang menjawab sudah dan banyak yang menjawab belum.
“Kalau macam tu saya nak sebelum loceng waktu pertama esok, semua buku dah ada atas meja saya. Siapa yang tak hantar atau lambat saya tolak markah untuk ujian selaras nanti.” Hehehe..suka-suka aku mengugut.
“Saya dah siap cikgu.” Farah yang duduk di hadapanku bersuara.
“Pada yang dah siap tu boleh hantar sekarang.” Farah membantu aku memungut buku latihan rakan-rakannya yang telah siap. Macam manalah cikgu-cikgu lain selalu mengadu pelajar kelas aku ni nakal-nakal. Dengan aku ok je, walaupun suka mengusik, buat lawak bodoh tapi sangat berdisiplin. Amat jarang dia orang bagi masalah kat aku.
“Terima kasih kelas. Assalamualaikum.” Aku melangkah keluar dari kelas, menghadiahkan senyuman pada Cikgu Bala yang mengajar Bahasa Inggeris yang sudah menunggu di luar kelas.

1 comment: