Pages

Wednesday, March 11, 2015

MINI NOVEL: CINTA BUATMU PART 8


PART 8

Amar baring atas katil Ryan sambil mata tak lepas memandang abangnya yang sejak beberapa bulan ni dah bertukar jadi mat jiwang. Kalau dulu mana nak layan lagu-lagu patah hati ni tapi sekarang ni hari-hari kat bilik ni berdendang dengan lagu jiwang. Yang selalu aku dengar lagu kumpulan Ungu. Bukan setakat dalam bilik ni je, dalam kereta, kat laptop, kat handphone semua lagu sedih-sedih ni. Hish, teruk betul abang aku ni.
“Abang, sampai bila kau nak macam ni? Tak pernah-pernah aku tengok kau jadi macam ni sebab perempuan.” Amar memberanikan diri menegur abangnya. Takut juga, sebab awal-awal dulu asyik nak mengamuk je. Habis barang-barang kat bilik ni dibalingnya. Kesian kat bibik, hari-hari kena kemas bilik abang.
“Abang, anggap jelah kau dengan cikgu takde jodoh. Mungkin kau akan jumpa yang lebih baik mana tau kan?” Aryan masih diam, masih merenung laptopnya.
“Abang, tak bestlah macam ni. Dahlah kat rumah ni aku ada kau je buat kawan. Aku bosan gila bila kau jadi macam ni.” Hish, rasa macam cakap dengan dinding.

Kau hancurkan aku dengan sikapmu
Tak sedarkah kau telah menyakitiku
Lelah hati ini meyakinkanmu
Cinta ini membunuhku

Sudah, ini lagu kumpulan mana pula yang abang main ni?

Bagaimana caranya untuk
Meruntuhkan kerasnya hatimu
Kusedari ku tak sempurna
Ku tak seperti yang kau inginkan

“Agaknya ini balasan sebab aku suka mainkan hati perempuan sebelum ni Amar. Aku tak pernah rasa sakit gila macam ni. Kalau nak bandingkan Azreen dengan awek-awek aku yang lain, rasanya Azreen tu takdelah istimewa mana tapi aku betul-betul suka kat dia.” Amar pandang abangnya.
“Kalau kau suka kat cikgu kenapa dulu kau putus?” Dah lama sebenarnya dia nak tanya dengan abang, apa history dia dengan Cikgu Riana.
“Bukan aku yang putus tapi Azreen. Tapi memang patut pun sebab aku hampir rosakkan dia.” Amar telan air liur. Dia tahu abang dia ni liar. Waktu kat KL dulu selalu pergi club, dari zaman belajar lagi sampai dah bekerja. Baru setahun dua ni dia berubah lepas papa accident dan hampir meragut nyawa papa. Kalau dulu jenuh papa tazkirahkan dia tapi ‘masuk telinga kanan keluar telinga kiri’. Selalu bergaduh dua beranak tu.
“Rosakkan dia?” Aryan bangun dari kerusinya, melangkah ke katil dan menghempas badan di sebelah adiknya.
“Mulanya aku kawan dengan dia sebab kawan-kawan aku bet, kalau aku dapat tundukkan minah geek macam Azreen aku akan dapat something.”
“Dapat something? Apa dia?”
“Adalah.” Mana mungkin dia bagi tahu kat adik dia yang bawah umur ni.
“Macam mana kau boleh kenal cikgu? Dia budak akaun, kau budak enjin.”
“Kawan aku masa kat MRSM dulu sekelas dengan dia. Dia yang recommendkan Azreen.”
“Kira jahat juga kawan-kawan kau tu ye?” Amar pandang abangnya sambil tersengih.
“Darah tengah muda.” Aryan teringat zamannya di university. Habis matrikulasi dia dapat offer ke UK tapi dia tak mahu pergi. Dia tak teruja nak belajar kat luar negara macam adik-beradik dia yang lain. Dia mungkin bukan budak bisnes tapi rasanya tak perlu nak pergi menyumbang duit kat negara orang sedang kat negara sendiri pun dia boleh dapat pendidikan yang berkualiti sama macam kat luar negara sana. Kalau pun dia nak ke luar negara bukan untuk belajar tapi bercuti ke, lagi best. Takde apa nak difikirkan.
“Abang macam mana cikgu boleh terpikat dengan kau..ehm, aku tau kau handsome tapi kau faham-faham sendirilah perangai kau kan?” Aryan pandang adiknya di sebelah.
“Kalau dah hari-hari aku pikat dia, lama-lama terjeratlah.” Azreen satu-satunya perempuan yang paling susah untuk dia pikat. Hati batu betul, macam orang takde perasaan je tapi akhirnya tewas juga kat tangan aku dan aku pula akhirnya tewas dengan permainan aku sendiri.
Lepas je kejadian tu, memang dia tak jumpa Azreen lagi. Bukan dia tak cuba minta maaf, tapi bila Azreen nampak je dia terus Azreen lari. Si bodyguard Azreen pula selalu je ada dengan dia, tak pernah berenggang. Hakim yang sekelas dengan Azreen siap kena penampar dengan Aisya waktu nak minta maaf kat Azreen.
“Hah, satu lagi abang, kenapa kau panggil cikgu, Azreen bukan Riana macam orang lain selalu panggil dia.” Memanglah tak pelik sebab nama cikgu, Riana Azreen so, ikut sukalah nak panggil yang mana tapi tak pernah dengar orang panggil cikgu tu Azreen. Tak Riana, dia orang panggil Ria dan ada sekali dia dengar cikgu bahasakan diri dia Yaya masa tengah cakap di telefon.
“Entah aku suka sebut nama tu, tapi tunang dia pun panggil dia Azreen. Geram betul aku waktu tu, berbulu rasa telinga aku ni.” Memang dia geram waktu terserempak dengan Azreen dan tunang dia dulu. Rasa macam nak carik-carik mulut lelaki tu.
“Dahlah abang. Move on. Banyak perempuan lain, dah berapa bulan cikgu tu bertunang, entah-entah tengah sibuk buat preparation nak kahwin.” Amar bangun dari katil dan menepuk lembut bahu abangnya sebelum melangkah keluar dari bilik Aryan.


Dari tempat duduk, aku melihat seorang wanita berjubah hitam dan berselendang menghampiriku. Cantik, persis gadis Arab. Malah beberapa orang pelanggan di kedai makan ini turut memandang wanita yang menuju ke meja yang aku duduk.
“Assalamualaikum.” Dia menghulurkan tangan yang kemudiannya aku sambut.
“Duduklah.” Dia duduk di hadapanku. Aku menggamit memanggil pelayan.
“Saya nak teh panas. Terima kasih.” Ya Allah, manisnya bila dia senyum.
“Maafkan saya sebab ganggu Riana.” Dia memandangku.
“Takdelah, petang ni saya takde buat apa-apa pun.” Hati aku berdebar, mahu saja aku terus bertanyakan tujuan dia ingin berjumpa dengan aku. Semalam, dalam telefon dia hanya menyatakan ingin berbincang tentang Fariz.
“Macam yang saya cakap semalam, saya nak jumpa Riana sebab Fariz.” Pelayan tadi meletakkan teh yang dipesan oleh Raudah, wanita di hadapannya. Sekali lagi wanita itu mengucapkan terima kasih.
“Saya rasa Riana mesti dah tahukan yang Fariz dah berkahwin?” Aku tersentak, mujur waktu ni aku tak meneguk air, kalau tak mahu basah muka wanita ini kena sembur. Dia juga turut terkejut bila melihat wajah aku yang jelas terkejut tu.
“Riana tak tahu yang dia dah kahwin?” Dia bertanya dengan wajah yang agak keliru.
“Maaf, saya tak tahu. Dan sejujurnya saya tak tahu apa-apa tentang dia kecuali yang dia anak imam di kampung saya dan bekerja sebagai doktor.” Aku pandang wajah Raudah yang nyata masih terkejut.
“Saya rasa Riana tentu boleh agak yang saya isteri Fariz. Kami kahwin masa di Mesir, saya baru pulang ke Malaysia lepas tamat pengajian di sana. Family kami masing-masing tak tahu yang kami dah berkahwin. Saya takut nak beritahu papa dengan mama, dan Fariz pun sama sebab katanya ayah dia tak suka anak-anak berkahwin dengan orang luar.” Orang luar? Aku pandang mukanya. Muka Melayu, cakap pun takdelah asing bagi aku.
“Saya orang Brunei. Papa saya keturunan Arab dan mama saya orang Brunei.” Patutlah cantik.
“Saya menetap di Malaysia sebab papa bekerja di Kuala Lumpur.”
“Maaf Raudah, macam yang saya bagi tahu awak, saya memang tak tahu yang Fariz dah kahwin. Sebenarnya semua ni diatur oleh keluarga kami. Walaupun sekampung, saya tak pernah kenal dengan Fariz.”
“Saya tak pernah salahkan awak walaupun sebelum ni Fariz bagi tahu yang awak tahu dia dah berkahwin. Saya redha kalau bermadu tapi saya kecewa sebab apa yang Fariz bagi tahu saya selama ni satu pembohongan.” Aku lihat wajah putihnya mula merah. Agaknya dia menahan diri dari menangis.
“Apa yang dia bagi tahu awak?”
“Dia cakap keluarga dia nak jodohkan dia dengan anak kenalan keluarga, dan dia tak mampu nak menolak sebab ayah dia ada sakit jantung. Jadi dia cuba cara lain untuk mengelak dari perkahwinan ni berlaku. Katanya dia bagi tahu awak yang dia dah berkahwin tapi awak berdegil nak kahwin dengan dia juga sebab awak dah jatuh cinta dengan dia. Yelah, siapa yang tak nak doktor sebagai suami kan?” Hah, hello ingat aku hadap sangat ke nak berlakikan doktor?
“Saya redha sebab saya tahu dia sayangkan saya dan saya yakin dia mampu berlaku adil.” Memang dia sayangkan kau Raudah tapi bab berlaku adil aku tak pasti sebabnya dia pun macam acuh tak acuh je dengan aku.
“Macam ni lah Raudah, apa kata saya tolong awak. Saya bawa awak jumpa dengan family imam, dan awak boleh explain dekat dia orang.”
Raudah menggeleng.
“Saya takut.” Aku capai tangannya dan mengenggam lembut.
“Jangan bimbang, setahu saya keluarga imam Dollah tu baik sangat. Saya pasti kalau awak minta maaf dan terangkan baik-baik dia orang boleh terima.” Raudah pandang muka aku.
“Saya tak nak kahwin dengan suami orang. Walaupun awak restu tapi saya tak nak. Saya tahu awak baik tapi saya tak tahu dengan diri saya. Mampu ke saya berkongsi kasih? Saya tak pasti.” Aku lihat dia tunduk. Aku tahu dia menangis. Mana ada seorang perempuan pun yang rela dimadu tapi bagi perempuan seperti Raudah, suami adalah syurganya jadi sebab itu dia merestui suaminya berkahwin dua.
“Hujung minggu ni saya bawa awak ke Kedah. Fariz takde kan?” Ada Fariz bagi tahu aku yang dia berkursus di Johor.
“Bagi tahu dia awak nak ke rumah kawan.”
“Saya masih tinggal kat rumah papa lagi. Sesekali saya ke rumah dia tapi tak pernah bermalam.” Inilah payahnya kalau kahwin sembunyi-sembunyi ni. Bukan ke ikatan perkahwinan itu sangat suci? Kenapa perlu menyusahkan diri macam ni?
“So, macam mana?” Raudah angkat kepala kemudian mengangguk.
“Don’t worry. Saya percaya keluarga Fariz boleh terima awak.” Ya Allah, kenapa aku rasa bersyukur sangat ni?
“Terima kasih Ria.” No Raudah. Aku yang sepatutnya berterima kasih pada kau. Terima kasih kerana muncul sebelum semuanya terlambat.


Abah diam sambil memandang sawah padi. Aku tahu abah kecewa.
“Kopi bah.” Aku letak dulang berisi kopi di tepi abah. Uda pula membawa pisang goreng yang baru digorengnya tadi.
“Adik.” Abah panggil lembut. Rokok daun dibuang ke luar.
“Abah, kalau abah nak cakap pasai adik dengan Fariz tu tok sah lah abah. Adik ok je.” Abah tarik tangan aku, digenggamnya lembut.
“Abah minta maaf kat hang no. Salah abah.”
“Dak aih, abah tak salah apa-apa pun dengan adik. Adik tahu abah dengan uda nak yang terbaik tok adik.”
“Kami ingat Fariz tu dah baik dah, rupanya….” Uda yang bersila di sebelah abah menyampuk.
“Fariz tu baik uda, cuma dia bukan jodoh adik. In shaa allah, adik percaya Allah akan bagi adik laki yang terbaik tok jadi suami adik.” Abah dengan uda pandang muka aku dengan wajah sayu, seolah-olah kesian dengan nasib aku. Ya Allah, abah, uda jangan pandang macam tu, adik sebenarnya syukur sangat tak jadi kahwin dengan si Fariz tu.
Teringat peristiwa petang semalam di rumah Imam Dollah. Sebelum aku bawa Raudah ke rumah imam, aku terlebih dulu menceritakan perkara sebenar pada abah dan uda. Terkejut abah dan uda. Walaupun Raudah bersedia untuk bermadu, tapi abah tegaskan pada dia yang aku takkan dikahwinkan dengan suami Raudah. Abah takkan benarkan aku jadi perosak rumahtangga orang lain. Abah tak mahu aku berbahagia atas kesengsaraan orang lain.
Aku minta abah temankan kami untuk bercakap denga keluarga imam. Takut juga kalau imam terkejut dan diserang sakit jantung, dan takut juga kalau imam mengamuk dan Raudah dimaki hamun. Takkan imam nak maki hamun pulakan? Aku cuma memikirkan sebarang kemungkinan.
Kedatangan kami disambut mesra oleh imam dan Makcik Zainab, ibu Fariz. Dipeluk ciumnya aku, memang sayang betul dia kat aku.
“Jemputlah duduk, saya ke dapur buat air.”
“Tok sah susah-susahlah Kak Nab oi. Kami ni baru ja minum tadi.”
“Tak susah aih, barang semua ada.”
“Ria tolong makcik.” Aku mengikut Makcik Zainab ke dapur. Selesai membancuh kopi, aku bawa ke depan.
“Imam, ada benda yang aku nak bincang ngan hang ni. Aku minta sangat hang bertenang na?”
“Hish, awatnya ni? Hang tok sah buat saspen boleh tak?” Abah pandang wajah aku, kemudian uda dan akhir sekali jatuh ke wajah Raudah yang tunduk memandang lantai.
“Ini Raudah.” Abah tiba-tiba memperkenalkan Raudah sekali lagi. Raudah yang tadinya tunduk mengangkat wajahnya.
“Kan hang dah bagi tau tadi.”
“Ini Raudah, isteri Fariz.” Lembut abah bersuara. Aku pasti abah bimbang imam terkejut.
“Hang ni tok sah nak bergurau dengan aku boleh tak?” Aku pandang wajah imam dan Makcik Zainab dan mereka memang nampak terkejut.
“Raudah, hang cakaplah.” Abah pandang wajah Raudah dan Raudah aku lihat ada air yang mula bergenang di matanya.
“Maafkan saya.” Belum habis berkata-kata dia menangis. Aku menghampirinya. Tangannya aku capai, aku gosok lembut, memberi sedikit kekuatan untuknya berbicara.
“Saya dengan Fariz berkahwin dua tahun lepas di Mesir.” Aku dengar imam dan Makcik Zainab beristighfar. Raudah menerangkan kepada imam dan Makcik Zainab bagaimana mereka berkahwin dan kenapa mereka merahsiakannya. Malah apa yang dia ceritakan pada aku juga diceritakan sama kepada ibu dan ayah Fariz.
“Saya minta maaf, saya minta maaf.” Berkali-kali dia minta maaf sambil teresak-esak menangis.
Makcik Zainab menghampiri Raudah, ditariknya dalam pelukannya.
“Sudahlah, benda dah berlaku. Lagipun hangpa berdua buat benda baik cuma cara hangpa ja tak berapa manis. Awatlah tak habaq?” Imam Dollah menggelengkan kepala. Kesal agaknya dengan tindakan Fariz.
“Jadinya imam, aku datang ni nak minta agar pertunangan Ria ngan Fariz ni dibatalkan. Aku tak mau anak aku bermadu dan aku pun tak nak rosakkan rumahtangga orang lain.” Aku pandang wajah abah. Terima kasih abah. Aku rasa macam nak peluk je abah sekarang ni.
Imam Dollah bersetuju, dan mereka akan ke rumah untuk memutuskan pertunangan aku mengikut adat. Setelah selesai masalah aku dengan Fariz, mereka akan berjumpa dengan keluarga Raudah untuk berbincang pula masalah Raudah dan Fariz.
“Lepas ni, tak yah cari jodoh untuk adik lagi tau? Abah dengan uda doa ja, biar adik jumpa lelaki yang baik-baik. Dah jumpa nanti adik bawa jumpa abah dengan uda na?” Abah senyum. Uda peluk bahu aku.
“Jangan lama-lama sangat. Abah ni dah tua, takut tak sempat nak kahwinkan hang.”
“Ala, awat cakap lagu tu?” Aku tarik muncung.
“Buat mulut lagu tu. Sat gi abah ikat mulut tu ngan tali.” Abah mengusik sambil jarinya menggulung rokok daun.
“Tengok tu, tadi habaq dah tua. Dah tu buat apa yang nak merokok lagi?” Aku pura-pura marah.
“Sedap.” Abah sengih.
“Huh.”
“Abah hang ni memang degil. Malas uda nak melarang.”
“Abah kurang-kurangkanlah merokok tu na? Esok-esok kalau sakit sapa yang susah? Abah gak.” Abah diam, tak membalas. Hanya menyedut rokok yang digulungnya tadi.


“Bawa kereta elok-elok adik. Kalau penat hang berenti dulu.” Belum pun aku masuk kereta uda dah berpesan. Memang macam nilah setiap kali kalau aku nak balik ke Perak.
“Buah manggis tu banyak. Hang bagilah kawan-kawan hang sikit. Mempelam pun ada tu.” Memang banyak pun buah-buah yang abah bekalkan untuk aku. Kak Ros siap pesan suruh beli mangga harum manis. Ingat Perlis tu sebelah kampung aku je kot. Mangga harum manis banyak kat Perlis tapi mujurlah abah ada dua tiga pokok tapi taklah banyak buahnya. Petang semalam aku keluar dengan uda mencari buah mangga untuk kawan-kawan aku.
“Adik, hang sampai nanti panaskan balik gulai ni.” Aku menyambut gulai daging rebung dari uda. Kalau dapat si Aisya ni memang suka betul dia, bertambah-tambah. Aku rasa biasa je, mungkin sebab dah selalu makan.
“Abah, adik balik dulu.” Aku salam tangan abah. Dipeluknya aku.
“Jaga diri hang kat tempat orang. Jangan cari gaduh dengan orang. Biaq pi orang nak buat apa, hang jangan nak ikut buat perangai tak elok.” Aku mengangguk. Dari zaman belajar lagi, pesan yang satu ni tak pernah abah lupa. Dalam dok berpesan-pesan, nyaris juga aku terbabas dulu.
Aku menghampiri uda. Tangannya aku capai. Lepas je aku bersalam, macam biasa, dibawanya aku dalam dakapannya. Habis setiap inci wajah aku diciumnya. Aku membalas ciumannya. Sebelum masuk ke kereta, aku hulurkan duit buat abah dan uda.
“Hish, tok sahlah. Duit yang tiap-tiap bulan hang bagi tu pun ada lagi.” Abah menolak.
“Ala, tu duit lain. Ini duit buat beli rokok daun abah.” Aku mengusiknya. Abah menampar lembut belakangku.
“Dah pi balik. Sat gi lambat sampai.”
“Abah ni macam halau adik je?” Aku pura-pura merajuk.
“Tak dak sapa halau hanglah. Abah risau, kotlah hujan ka, jalan sesak ka. Nanti hang yang lambat sampai. Esok nak kerja.”
“Ye tau. Adik balik dulu. Assalamualaikum.” Aku masuk ke kereta, kemudian menghidupkan enjin dan bergerak meninggalkan halaman rumah.
Sempat aku menoleh rumah Imam Dollah ketika melintasi rumahnya. Raudah akan pulang bersama Fariz yang akan pulang ke kampung selepas selesai kursusnya di Johor. Selepas itu, mereka sekeluarga akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan keluarga Raudah. Itu yang dikhabarkan pada aku semalam. Malas nak ambil tahu, lagipun dah takde apa-apa kaitan dengan aku dan yang penting masalah aku dah selesai.
Di simpang menuju ke jalan utama, aku lihat kereta Fariz yang membelok masuk. Aku perasan yang dia toleh ke arah aku dan memperlahankan keretanya. Tak tunggu lama aku terus menyeberang jalan meninggalkannya, kebetulan takde kereta. Macam yang aku cakap, urusan aku dengan dia dah berakhir.
Aku sampai di rumah ketika jam menunjukkan ke pukul 8.15 malam. Aisya sedang bersantai di ruang tamu.
“Hah, penat.” Aku merebahkan badan di sofa. Tudung aku buka. Rambut yang ikatannya tadi rendah aku buka kemudian aku sanggul tinggi.
“Dah masak nasi?” Aku bertanya Aisya yang sedang melayan drama Koreanya.
“Dah. Aku lapar ni menunggu gulai daging mak kau.”
“Ada tu. Uda suruh panaskan dulu.” Aku bersandar di sofa. Aisya bangun mengambil bekas makanan yang aku letak di atas meja.
“Kau nak makan dulu ke, nak mandi dulu?” Dia bertanya sambil membawa bekas gulai daging ke dapur.
“Aku mandi dululah.”
“Cepat sikit aku lapar ni.” Aku senyum. Lapar sangatlah tu. Kalau tak mesti kecoh mulutnya bertanya kejadian kat kampung aku. Aku bangun menuju ke bilik.
Setelah selesai mandi, aku ke dapur. Tudung saji aku buka.
“Kau masak ke ni?” Bestnya, ada ikan pekasam dengan sambal kuini lagi.
“Dah tu takkan Cik Zah sebelah masakkan.” Ceh, Aisya ni.
Aku duduk menyenduk nasi ke pinggan aku dan Aisya. Lepas membaca doa makan kami masing-masing menyumbat nasi ke mulut. Selepas beberapa suap barulah Aisya bersuara.
“So, macam mana?” Aku meneguk air. Dah tahu dah soalan tu.
“Alhamdulillah, semua dah settle. Tengok ni.” Aku menunjuk jari-jariku, kosong. Dah takde cincin belah rotan yang diberi oleh Fariz sebagai tanda dulu.
“Dia orang tak bagi kau cincin tu ke?”
“Malaslah nak simpan. Aku pulangkan semua barang-barang yang dia orang beri. Nasib baiklah aku tak buat apa-apa pun dengan barang hantaran tu. Tapi buah-buah dengan kek tu takdelah.”
“Imam tu terkejut tak bila dapat tahu yang anak dia dah kahwin?” Aisya bertanya kemudian menyuap nasi ke mulut.
Of courselah. Tapi orang baik-baik, beriman pula tu, so dia terima berita tu dengan tenang je.”
Aku pula menyuap nasi ke mulut.
“Dah tu Fariz cakap apa?”
“Fariz mana ada. Kan dia kursus kat Johor tapi masa aku nak keluar simpang kampung aku tadi, selisih ngan kereta dia. Agaknya baru sampai dari Johor kot.” Aku teguk air. Pedas betul sambal anak Jawa ni buat.
“So, sekarang ni bolehlah kau couple balik dengan Ryan.” Hampir tersedak aku mendengar ayat yang keluar dari mulut Aisya. Kurang asam betul dia ni tau.
“Aku ngan dia tak pernah ada apa-apalah.”
“Hmm, ye lah tu.” Aku bangun membawa pinggan ke sinki dan mencuci tangan.
“Yelah.” Aku tinggalkan Aisya yang masih berselera makan berlaukkan gulai daging rebung uda.


Buah-buahan yang abah bekalkan semalam, aku beri kat kawan-kawan aku. Kat Cik Zah dengan Pakcik Rani jiran sebelah rumah dah aku sebelahkan. Balik karang baru aku bagi.
“Berapa ni Ria?” Kak Ros bertanya sambil membuka plastik berisi manggis dan mangga yang aku bungkuskan untuknya.
“Free je kak. Dari kebun abah tu.” Untuk Kak Sari, Kak Ida dan Cikgu Liew pun aku beri juga. Cikgu Hamdan dan Cikgu Rahmat pun dapat habuan masing-masing. Yang lain-lain aku letak kat sudut pantry. Sapa nak ambil jelah. Kuih bunga pudak pun aku ada belikan lepas Kak Sari teringin nak makan.
“Durian takde ke Ria?” Ewah Cikgu Hamdan ni. Bagi peha nak betis pula.
“Kat Perak ni pun banyak durian cikgu.”
“Durian Kedah lain, mai dari Thailand.”
“Takde bezanya, durian juga. Buat apa nak kayakan Thailand? Baik tolong orang kita ni. Harga pun murah.” Kak Ida, cikgu Ekonomi dah bersuara.
“Oops, pakar ekonomi dah bersuara. Baik puan.” Cikgu Hamdan mengusik Kak Ida.
“Ria ada kelas ni. Nanti Kak Ros bagi kat Cikgu Liew ye?” Aku mengambil alatan mengajarku.
“Terima kasih Ria. Seronok kalau Ria balik kampung. Macam-macam dibawanya.” Kak Ros tunjuk muka ceria. Memang seronok sangatlah tu.
“Dah tu. Kak Ros kalau balik kampung tu, bawa-bawalah buah tangan.” Cikgu Hamdan tu nak mengusik lagilah tu. Bukan tak tahu Kak Ros takde kampung. Suami isteri membesar di kota Kuala Lumpur.
“Kamu ni Hamdan, kang aku carut karang, kot seminggu tak lalu makan.” Cikgu Hamdan ketawa. Kak Sari dengan Kak Ida pun turut ketawa.
“Oklah Ria pegi dulu.”
“Pergilah sayang, abang tak larang pun.” Ew, aku buat muka dan Cikgu Hamdan ketawa lagi.
“Kamu ni kalau tak mengusik tak sah kan?” Kak Sari menegur Cikgu Hamdan yang sebaya dengannya.
“Aku tengok Ria sekarang ni makin comel pula. Dulu mana tahu nak senyum-senyum ni, bercakap pun sepatah-sepatah je.”
“Hish, gatal. Dia makin comel pun bukan boleh kamu dapat.”
“Hei, Kak Ros, saya ada tiga tempat kosong lagi.” Kak Ida dah buat muka. Tak suka dia dengar pasal poligami ni.
“Orang lelaki kalau bab tu bukan main lagi ye Kak Ros?” Kak Ros mengangguk, mengiakan kata-kata Kak Sari.
“Hei, Cikgu Hamdan, you ni takde kelas ke? Menempek kat sini je.” Cikgu Liew yang baru habis kelas duduk di mejanya.
“Sebab takdelah nyonya. Kalau ada you tak nampak muka I kat sini.” Cikgu Liew menjeling. Geram dengan Cikgu Hamdan yang suka panggil dia nyonya.
“Liew, tu Ria bagi buah manggis dengan mangga.”
“Oh, best nya. Semalam pergi Tesco dah pegang dah buah mangga tapi tak jadi beli sebab mahal sangat. Berapa ni Kak Ros?” Cikgu Liew bertanya sambil membuka bungkusan plastik.
“Dia bagi free je.” Kak Ida menjawab bagi pihak Kak Ros.
“Bestnye. Suka I dengan adik dua orang ni.”
“Tak payah nak suka sangatlah nyonya.” Cikgu Hamdan mengusik lagi.
“Hish, sibuk jelah you ni Hamdan. Pergi balik tempat you.” Cikgu Hamdan ketawa lagi.
“Apa yang riuh-riuh ni? Dari tangga lagi dengar suara?” Aisya meletakkan bukunya di atas meja.
“Biasalah Sya. Kalau ada si Hamdan ni, tu tak masuk Cikgu Rahmat lagi. Mahu kenyang perut ni melayan dia orang.” Kak Ros menjawab.
“Jangan dilayan sangat orang tua ni.” Selamba Aisya bercakap sambil tangan membuka laci mengambil dompetnya.
“Orang tua dipanggilnya aku.”
“Nak ke mana Sya?” Kak Ida bertanya.
“Kantin. Laparlah, nak-nak lepas mengamuk tadi.”
“Kak Ida nak ikutlah.” Kak Ida yang mengandung 5 bulan itu bangun dari kerusinya.
“Kak Sari pun nak makan jugalah. Liew, Kak Ros?” Cikgu Liew menggeleng.
“Kak Ros kenyang lagi.”
“Abang pun nak ikut jugalah.” Cikgu Hamdan buat muka gatal. Tu namanya muka minta penampar ngan Kak Ida.


Aku menghampiri meja Haziq setelah habis membantu Irna menyelesaikan soalan latihan yang aku beri. Sempat aku pandang Amar yang duduk di meja belakang Haziq. Cepat-cepat dia larikan wajahnya.
Aku menerangkan kepada Haziq soalan yang tak difahaminya. Aku faham banyak yang mungkin dia orang tak faham, lagipun topik ni masih baru. Loceng terakhir berbunyi.
“Ok, awak cuba buat dulu. Next class kita akan bincang jawapan. Kalau tak faham tanya, jangan tak cuba jawab langsung, jangan salin je jawapan yang saya bagi. Faham”
“Faham.” Mereka menjawab serentak. Riuh kelas dengan suara mereka berkemas untuk pulang. Aku menghampiri Amar yang sedang menyimpan buku dan alat tulisnya ke dalam beg.
“Amar, boleh jumpa cikgu kat kereta cikgu nanti?” Dia pandang aku, begitu juga Ilham di sebelahnya.
“Saya nak cepatlah cikgu, ada tuisyen nanti.” Aku tahu dia cuba mengelak.
“Sekejap je. Ada benda cikgu nak kirim untuk makcik.” Aku cuba berlembut.
“Hm, cepat sikt.” Dia menjawab acuh tak acuh. Aku tahu mesti dia marah. Mesti Aryan ada cerita apa-apa kat adik dia. Aku bergegas ke bilik guru, meletakkan bukuku kemudian tergesa-gesa turun ke tempat letak kereta.
Dari jauh Amar dah menunggu di sisi motosikalnya bersama-sama dengan tiga sahabatnya, Haziq, Khairul dan Ilham. Aku membuka pintu belakang keretaku. Bungkusan berisi manggis dan mangga aku hulurkan padanya.
“Untuk makcik, cikgu bawa dari kampung.” Satu bungkusan lagi aku serah pada Ilham.
“Nah, kongsi bertiga.”
“Terima kasih cikgu.” Aku senyum.
“Kenapa cikgu buat abang macam tu?” Aku tersentak. Bukan saja aku malah budak bertiga lagi tu pun sedikit terkejut.
“Cikgu tak nak cakap apa-apa dan Amar tak perlu fikir pasal tu. Semua tu takde kaitan dengan Amar.” Aku cuba berlembut sebab aku tahu Amar tengah panas.
“Takde kaitan? Yang cikgu main-mainkan tu abang saya.” Main-mainkan? Aku main-mainkan abang dia? Aku lihat Khairul dah mencuit Amar.
“Korang balik dulu, aku nak cakap dengan cikgu jap.” Patuh je budak bertiga tu dengan arahan Amar.
“Jadi Amar bagi cold shoulder ngan cikgu sejak akhir-akhir ni sebab hal cikgu dengan Ryan lah ye?” Aku menyandarkan tubuhku ke kereta.
“Cikgu tahu tak hati saya sakit bila tengok abang saya macam orang tak terurus. Bila bercakap je nak marah, hempas-hempas barang. Dah lama dia tak buat perangai macam tu.” Aku pandang wajah Amar yang merah, tak tahulah sama ada merah kerana marah atau sebab cuaca yang panas.
“Kalau cikgu dah ada boyfriend, dah nak bertunang, kenapa cikgu layan abang saya lagi?” Aku lepaskan keluhan, tak tahu nak explain macam mana dengan Amar. Kalau aku terangkan pun dia faham ke? Boleh ke dia terima kalau aku bagi tahu yang aku dengan abang dia takde apa-apa hubungan, walaupun aku tahu Aryan mengharapkan hubungan kami yang terputus dulu boleh disambung semula.
“Cikgu minta maaf kalau masalah cikgu dengan Ryan melibatkan Amar sekali. Cikgu tak nak bagi apa-apa komen sebab nampak macam cikgu sengaja cari alasan. Antara cikgu dengan Ryan biar kami masing-masing selesaikan, ok?” Amar pandang wajah aku. Masih tak berpuas hati.
“Tak payah fikir soal kami. Tumpukan pada pelajaran. Kirim salam pada makcik. Assalamualaikum.” Aku melangkah meninggalkan Amar. Entah kenapa aku rasa macam nak menangis. Kejam ke aku pada Ryan?

No comments:

Post a Comment